suria

Rakyat Greece Kembali Ke Peti Undi Tak Sampai Setahun

Rakyat Greece keluar mendengar ceramah buat kali terakhir pada Jumaat sebelum kempen ditutup. Pilihan raya umum Greece akan berlangsung Ahad ini bagi menentukan kerajaan baru.

ATHENS: Rakyat Greece akan sekali lagi keluar mengundi Ahad ini untuk memberi mandat kepada kerajaan baru selepas kerajaan sedia ada berhadapan dengan kegagalan untuk menguruskan hutang dan kebankrapan negara itu.

Bancian yang dijalankan tidak memberi indikasi yang jelas siapakah yang bakal muncul sebagai pemenang termasuklah parti berhaluan kiri yang memerintah sekarang.

Ini sekaligus menjurus ke arah kebarangkalian pembentukan sebuah kerajaan campuran yang lemah.

Rakyat Greece berbelah bahagi kepada siapakah yang boleh disandarkan harapan untuk membawa mereka keluar dari kemelut ekonomi dan hutang yang membawa kepada kebankrapan negara Meditteranian itu.

Hanya bulan lalu, Greece sekali lagi diselamatkan oleh negara-negara Kesatuan Eropah dengan mengepam masuk Euro86 bilion bagi membolehkan ekonomi negara itu digerakkan semula dan keluar dari zon kebankrapan.

Lima bancian yang dijalankan menunjukkan tidak ada satu parti pun yang mampu memperolehi sekurang-kurangnya 38 peratus sokongan yang dijadikan petanda aras untuk muncul sebagai pemenang.

Namun Parti Syriza pimpinan perdana menteri, Alexis Tsipras yang berhaluan kiri dan parti konservatif, Demokrasi Baru pimpinan Vangelis Meimarakis muncul sebagai pesaing terdekat pada pilihan raya ini.

Parlimen Greece mempunyai 300 kerusi.

Ini adalah pilihan raya Greece yang kedua dalam tempoh setahun. Mereka baru sahaja mengadakan pilihan raya umum Januari lalu yang dimenangi oleh Parti Syriza.

Namun Syriza membubarkan parlimen untuk memperolehi mandat baru bagi menguruskan ekonomi Greece yang parah itu.

Greece, Syriza, Alexis Tsipras

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain