MANILA: Dua pelancong Kanada, seorang pengurus resort dari Norway dan seorang wanita Filipina diculik sekumpulan lelaki bersenjata di pulau pelancongan di selatan Filipina. Mangsa culik itu dikenal pasti sebagai John Ridsdel dan Robert Hall dari Kanada serta Kjartan Sekkingstad dari Norway, manakala wanita Filipina terbabit belum disahkan identitinya. Keempat-empat mangsa diculik dalam serangan pada lewat malam Isnin di Resort Holiday Oceon View di Pulau Samal berhampiran Davao, bandar terbesar di pulau Mindanao. Kapten tentera Filipina, Alberto Caber berkata, pihaknya masih menyiasat bagi mengenal pasti kumpulan yang melakukan penculikan di wilayah bergolak di selatan negara itu. “Empat individu diculik tetapi kami tidak tahu kumpulan mana yang melakukannya. Warga asing terbabit dilihat sebagai sasaran bukan diculik secara rambang,” katanya. Beliau menambah, terdapat kira-kira 30 pelancong asing di resort berkenaan ketika serangan itu berlaku. Sumber tentera Filipina mendedahkan kumpulan lelaki bersenjata itu bertutur dalam bahasa Inggeris dan Tagalog yang digunakan secara meluas di negara ini. – Reuters