suria

Orlando Bloom Gesa Pelarian dan Migran Kanak-Kanak Dilindungi

Orlando Bloom yang juga Duta Muhibah Unicef melayan kanak-kanak di pusat pelarian dan migran.

PELAKON dan Duta Muhibah Tabung kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Orlando Bloom menggesa supaya perlindungan sepenuhnya diberikan kepada ratusan ribu pelarian dan migran kanak-kanak yang cuba memasuki beberapa negara di Eropah.

Sepanjang lawatannya ke pusat pelarian dan migran berdekatan Gevgelija yang juga bekas Republik Yugoslav, Bloom meluangkan masa mendengar cerita yang disampaikan kanak-kanak malang itu.

"Pelarian dan migran kanak-kanak itu telah melalui perjalanan jauh yang berbahaya. Mereka juga menceritakan bagaimana terpaksa mengharungi perjalanan dalam cuaca buruk, berjalan tanpa kasut dengan hanya memakai pakaian yang terhad.

"Mereka juga dibawa merentasi sempadan tanpa menyedari risiko yang bakal dihadapi. Jika mereka selamat tiba ke destinasi sekali pun, masa depan mereka masih kabur.

"Oleh itu perlindungan dan sokongan perlu diberikan kepada mereka," katanya.

Kebanyakan kanak-kanak ini melarikan diri daripada keganasan di Syria, Afghanistan dan Iraq.

Menerusi khidmat sokongan Unicef di pusat berkenaan, kanak-kanak berkenaan mempunyai akses untuk berada di lokasi yang selamat, berehat, bermain, memperoleh makanan dan minuman, pakaian panas dalam suasana yang bersih dan dilindungi.

Orlando Bloom mendengar pengalaman Tarek yang mengharungi perjalanan menaiki bot dan meninggalkan keluarga di Damsyik  untuk Greece.

Antara yang ditemui Bloom adalah remaja berusia 17 tahun, Tarek Merry dari Syaria yang menceritakan mengenai perjalanan menakutkan ketika menaiki bot dari Turki ke Greece dan meninggalkan keluarganya di Damsyik.

Tarek meneruskan kehidupannya dengan keluarga barunya, warga Syria selepas menyelamatkan anak perempuan mereka daripada lemas dalam pelayaran itu.

Setakat ini, hampir 100,000 pelarian dan migram majoritinya wanita dan kanak-kanak didaftarkan di pusat berkenaan sejak Jun 2015.

Unicef menganggarkan sekurang-kurangnya 320,000 wanita dan kanak-kanak yang telah melarikan diri ke Eropah masih memerlukan bantuan untuk tempoh enam bulan.

Orlando Bloom, Univef, Tarek Merry

Artikel Lain