KARACHI: Tujuh kanak-kanak termasuk yang berusia seawal enam bulan yang sedang tidur terkorban apabila pondok yang didiami tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di sini, awal pagi Selasa. Setakat ini, sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dalam kejadian itu. Pesuruhjaya Karachi, Shoaib Siddiqui berkata, semua mangsa yang meninggal dunia adalah dari keluarga yang sama. "Mereka dipercayai baru berpindah ke kawasan tersebut tiga hari lalu," katanya. Sementara itu, pegawai kanan polis, Javed Jaskani berkata, kejadian sekitar pukul 2 pagi (waktu tempatan) itu berlaku apabila batu dan tanah runtuh di kawasan setinggan dan menghempap tiga pondok di kawasan Gulstane Jauhar. "Selepas hampir lima jam usaha mencari dan menyelamat dijalankan, 13 mayat mangsa ditemui dalam timbunan tanah runtuh," katanya. Selain itu, Times of India melaporkan, usaha menyelamat juga sedang giat dijalankan kerana sekurang-kurangnya tiga lagi mangsa dipercayai masih terperangkap. - AFP