suria

Pembantu Rumah Sembunyikan Mayat Bayi Di Rumah Majikan Ditahan

SINGAPURA: Seorang pembantu rumah berusia 33 tahun yang menyembunyikan mayat bayinya yang telah meninggal dunia semasa dilahirkan di dalam sebuah laci di rumah majikannya, telah ditahan.

Insiden berlaku pada petang Isnin di rumah dua tingkat yang terletak di Lorong Ong Lye di Serangoon.

Menurut Shin Min Daily News, wanita tersebut yang berasal dari Indonesia mengadu kepada majikannya bahawa dia tidak sihat.

Dia dibawa ke klinik dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK untuk pemeriksaan.

Doktor kemudiannya mengesyaki dia telah melahirkan anak baru-baru ini.

Berdasarkan siasatan lanjut, wanita itu mengakui telah melahirkan seorang bayi lelaki yang meninggal dunia ketika dilahirkan.

Malah dia mengakui menyembunyikan mayat bayi itu di dalam sebuah laci di bilik tingkat dua rumah majikannya.

Ketika dihubungi, seorang jurucakap polis berkata, mereka dimaklumkan mengenai insiden itu kira-kira pukul 1.22 petang dan menjumpai mayat bayi tersebut di dalam laci.

Bayi itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di tempat kejadian.

Jurucakap polis berkata, wanita tersebut ditahan kerana menyembunyikan kelahiran dan cubaan melupuskan mayat anaknya.

The Straits Times difahamkan bahawa bayi itu dilahirkan secara pra matang pada usia lima bulan.

mayat, pembantu rumah, Singapura

Artikel Lain