JAKARTA: Jerebu akibat kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan kini mula melanda sekitar ibu negara Indonesia ini. Bagaimanapun, ia belum sampai ke peringkat serius. Jurucakap Badan Pengurusan Bencana Indonesia (BPNB) Sutopo Purwo berkata keadaan itu dikesan menerusi pengawasan seharian. "Pemantauan menerusi satelit Himawari menunjukkan asap yang ditiup angin berada di Laut Jawa dan sebahagian Jakarta terjejas," katanya. Asap kebakaran dari Sumatera dan Kalimantan sebelum ini tersebar luas hingga menjejaskan kualiti udara di Malaysia, Filipina, Singapura dan selatan Thai, selain di kedua-dua wilayah itu. Sementara itu, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik, Perundangan dan Keselamatan Luhut Binsar Pandjaitan berkata, kerajaan Indonesia sudah menyediakan kapal perang untuk memindahkan mangsa jerebu di Kalimantan dan Sumatera. Katanya, enam kapal perang milik tentera dan dua milik syarikat kerajaan kemungkinan besar digunakan untuk menempatkan kanak-kanak dan bayi dari kawasan dilanda jerebu akan disediakan jika keadaan memaksa. Luhut berkata demikian selepas mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Presiden Joko Widodo (Jokowi). Dia juga berkata, Indonesia akan meminta bantuan beberapa negara lagi untuk mengatasi masalah itu. “Kami akan menghubungi Kanada, Amerika Syarikat dan Perancis untuk mendapatkan bantuan pesawat pemadam api,” kata Luhut. Menurutnya, setakat ini tiga pesawat digunakan untuk memadamkan kebakaran iaitu BE-200, Pelican dan Air Tractor.