JAKARTA: Indonesia dilanda dua gempa bumi dalam tempoh dua jam yang menggegarkan daerah Banten dekat sini dan Nias Selatan di Sumatera Utara pada Rabu. Dalam kejadian pertama pada 1.14 tengah hari waktu tempatan, gempa bumi sekuat 5.2 skala Richter dikesan berlaku di perairan Sesar Ujung Kulon iaitu dibarat daya Pandeglang, Banten. Siaran berita televisyen tempatan memetik Kepala Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Andy Eka Sakia sebagai berkata gempa itu dikesan berlaku 10 kilometer di bawah permukaan laut dan tiada amaran tsunami dikeluarkan. Gegaran dilaporkan turut dirasai di beberapa kawasan di ibukota Jakarta danBogor namun setakat ini pihak berkuasa belum menerima sebarang laporan kerosakan harta benda. Gempa kedua pula berlaku di kawasan perairan Nias Selatan dengan kekuatan 5.3 skala Ritcher pada pukul 3.12 petang tadi. "Pusat gempa berada pada 39 kilometer Tenggara Nias Selatan dengan kedalaman10 kilometer," kata Andy. BKMG juga tidak mengeluarkan sebarang amaran tsunami bagi gempa kedua itu.