suria

Rakyat Malaysia Dapat Penangguhan Hukuman Mati Hari Ini

SINGAPURA: Kurang 24 jam sebelum dia menjalani hukuman gantung, Kho Jabing yang berasal dari Sarawak berjaya mendapat penangguhan pelaksanaan hukuman pada Jumaat oleh Mahkamah Rayuan, selepas peguamnya memfailkan usul pada saat-saat akhir, Rabu lepas.

Menurut Channel News Asia (CNA) pelaksanaan hukuman mati terhadap Jabing, 31, yang dijadual pagi Jumaat, ditangguhkan, sementara menunggu pendengaran kes itu di Mahkamah Rayuan.

Penangguhan sementara itu akan membolehkan peguam Chandra Mohan K. Nair yang baru sahaja dilantik mempunyai lebih masa untuk menyediakan kes anak guamnya.

Chandra bertemu keluarga Jabing, Selasa lepas.

Pihak pendakwaan membantah penangguhan hukuman itu dan memberitahu mahkamah usul itu tidak membangkitkan sebarang isu yang boleh dipertikaikan.

Jabing dan rakan sejenayah, Galing Kujat didapati bersalah membunuh pada 2010 dan mereka dihukum mati.

Pada 2011, Kujat terselamat daripada hukuman gantung selepas sabitan atas pertuduhan membunuh dipinda kepada sabitan rompakan menyebabkan kecederaan.

Dia dijatuhi hukuman penjara 18.5 tahun dan 19 sebatan manakala rayuan Jabing ditolak.

Kesnya bagaimanapun dihantar ke Mahkamah Tinggi Singapura pada 2013 untuk dijatuhkan hukuman semula selepas negara tersebut mengkaji semula undang-undang hukuman mati mandatorinya pada 2012.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman semula ke atas Jabing, iaitu penjara seumur hidup dan 24 sebatan.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan mengemukakan rayuan menggesa Mahkamah Rayuan membatalkan hukuman yang diputuskan oleh hakim itu dan mengenakan semula hukuman mati ke atas Jabing atas alasan serangannya terhadap mangsa amat ganas.

Pada Januari tahun ini, panel lima hakim Mahkamah Rayuan dalam keputusan  3-2, mensabitkan Jabing bersalah dan menghantar semula pemuda itu ke tali gantung.

Rayuan Jabing untuk pengampunan ditolak bulan lepas oleh Presiden Singapura Tony Tan Keng Yam.

Mahkamah masih belum menetapkan tarikh untuk mendengar kes Jabing, menurut stesen televisyen tempatan itu. - BERNAMA

Artikel Lain