BANGKOK: Dalam satu perkembangan yang dianggap memeranjatkan, lelaki warga Switzerland, Xavier Andre Justo hari menarik balik rayuan terhadap hukuman penjara tiga tahun yang dikenakan terhadapnya kerana memeras ugut bekas majikannya PetroSaudi International. Perkara itu dinyatakan peguamnya, Worasit Piriyawiboon, selepas pendengaran pada Jumaat yang sepatutnya diadakan bagi mendengar permohonannya untuk dibenarkan ikat jamin sementara menunggu rayuan. Justo juga menarik balik satu permohonan ikat jamin kedua yang sepatutnya didengar hari ini di Mahkamah Jenayah Selatan Bangkok. Permohonan ikat jamin pertamanya sebanyak satu juta baht ditolak mahkamah pada 26 ogos. Justo hadir di mahkamah pagi ini dengan diiringi lapan pegawai koreksional. Dia ditangkap pada 22 Jun di pulau Koh Samui dan dijatuhi hukuman tiga tahun penjara pada 17 Ogos selepas mengaku bersalah mencuri data 90 gigabit, termasuk emel, dokumen dan bahan lain, daripada PetroSaudi International sebagai sebahagian daripada cubaan untuk memeras ugut.