DENPASAR: Penjenayah warga India yang paling dikehendaki, Rajendra Sadashiv Nikalje dihantar pulang ke negara asalnya selepas dua hari tertunda susulan penutupan Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai akibat letusan gunung berapi. Nikalje, 56 dibawa ke lapangan terbang itu dengan kawalan ketat pasukan keselamatan pada Khamis malam, lapor AFP. Ketua samseng yang dikenali sebagai Chotta Rajan itu tiba di Lapangan Terbang Palam, New Delhi awal pagi Jumaat dengan kawalan ketat pegawai ibu pejabat Biro Siasatan Pusat (CBI). Sumber memberitahu, sebaik tiba di CBI, dia diletakkan dalam tahanan dan akan menjalani pemeriksaan kesihatan. Penjenayah itu ditahan di Bali ketika mendarat dari Sydney pada 25 Oktober lalu menggunakan nama Mohan Kumar pada pasportnya. Penahanannya dilakukan susulan maklumat pihak berkuasa Australia di mana dia dikatakan menggunakan identiti palsu selama 20 tahun berpindah randah selain menetap di negara itu. Di India, Nikalje berhadapan pelbagai tuduhan termasuk bunuh, peras ugut dan penyeludupan dadah. Namanya tersenarai antara penjenayah dikehendaki Interpol pada 1995.