suria

Rasuah: Tukang Tilik Thai Mati Dalam Tahanan

Suriyan dikawal ketat sebaik tiba di mahkamah tentera selepas ditahan Oktober lalu.

BANGKOK: Tukang tilik terkenal Thailand yang didakwa kerana cubaan menipu kerabat diraja negara itu ditemui mati ketika dalam tahanan pihak tentera.

Ia kejadian kedua melibatkan individu yang terlibat dalam siasatan kes sama.

Pihak berkuasa Thai berkata, Suriyan Sucharitpolwong yang lebih dikenali sebagai Mor Yong mati kerana jangkitan darah beberapa jam selepas ditemui tidak sedarkan diri di sel tahanan berek tentera Bangkok pada petang Sabtu.

Jabatan Pemulihan Thailand berkata, tukang tilik berusia 53 tahun itu dibawa ke hospital sebaik ditemui pengsan oleh pengawal sel tahanan itu.

"Pihak hospital cuba menyedarkannya semula tetapi gagal," kata kenyataan yang dikeluarkan sambil menambah bedah siasat mendapati dia mengalami jangkitan pada darah.

Kematian Suriyan menimbulkan persoalan berkaitan peranan pihak tentera berhubung siasatan kes fitnah terhadap kerabat diraja yang turut mengheret pihak berprofil tinggi, selain mendapat perhatian media.

Menteri Keadilan, Paiboon Khumchaya yang juga bekas tentera berpangkat Jeneral memberita pihak media perubahan prosedur tidak perlu dilakukan di berek berkenaan walaupun susulan kematian tahanan di situ.

"Ada masanya banduan mati di penjara," katanya.

Suriyan ditahan bulan lalu bersama pembantunya dan pegawai polis berpangkat mejar, Prakrom Warunprapa yang kemudiannya diumumkan telah 'menggantung' dirinya ketika dalam tahanan pihak tentera.

Mayat pegawai polis itu kemudiannya dibakar walaupun penjelasan mengenai kejadian itu belum dimaklumkan.

Ketiga-tiga mereka ditahan pada 21 Oktober dan dihadapkan ke mahkamah tentera. Mejar Prakrom ditemui mati dua hari kemudian.

Raja Thailand, Bhumibol Adulyadej, 87 dilindungi oleh undang-undang rasuah dan mana-mana pihak yang cuba mengkritik pihak istana akan dikenakan tindakan serta dihukum penjara untuk tempoh lama.





Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain