PARIS: Beberapa warga asing dikenal pasti sebagai mangsa kejadian serangan pengganas pada Jumaat di sini, di mana sekurang-kurangnya 129 maut, manakala lebih 300 cedera. Berikut adalah antara rakyat asing yang disenaraikan sebagai mangsa serangan itu. ALGERIA: Wanita berusia 40 tahun dan lelaki berusia 29 tahun terbunuh demikian menurut sumber diplomatik kepada agensi berita APS. BELGIUM: Sekurang-kurangnya tiga terbunuh menurut pihak Kementerian Luar Belgium. BRITAIN: Seorang terbunuh kata pejabat Kementerian Luar dan mungkin juga lebih ramai lagi terkorban. CHILE: Seorang wanita dan lelaki termasuk anak saudara perempuan Duta Chile ke Mexico terkorban. MAGHRIBI: Seorang terbunuh, manakala beberapa yang lain cedera, menurut kedutaannya di Perancis. PORTUGAL: Dua warga negaranya dilaporkan maut. Seorang berusia 63 tahun yang menetap di Paris dan bekerja sebagai kakitangan sektor pengangkutan awam terbunuh berhampiran stadium Stade de France, manakala mangsa kedua terbunuh di dewan konsert Bataclan. ROMANIA: Dua terkorban menurut Kementerian Luar di Bucharest. SEPANYOL: Alberto Gonzalez Garrido yang berusia 29 tahun terkorban ketika menyaksikan konsert rock di Bataclan, kata pihak berkuasa negara itu. SWEDEN: Seorang warganya tercedera terkena tembakan, manakala beberapa lagi maut demikian kata Kementerian Luarnya yang masih mengumpul maklumat berhubung kejadian itu. TUNISIA: Dua bersaudara yang menetap di Creusot maut ketika menghadiri majlis hari lahir rakan mereka di Paris. AMERIKA SYARIKAT: Seorang penuntut dari California terbunuh dalam serangan itu, kata pihak universiti. BRAZIL: Dua rakyatnya cedera dalam serangan itu, kata Presidennya, Dilma Rousseff. --AFP