ECKWERSHEIM: Sesi percubaan kereta api menggunakan laluan berkelajuan tinggi yang baharu dari Paris ke Strasbourg berakhir tragedi apabila ia tergelincir pada Sabtu berhampiran sempadan Jerman dan mengorbankan 10 penumpang. Dalam kejadian sama, 32 yang lain cedera termasuk 12 mengalami kecederaan serius. Lima lagi tidak dapat dipastikan kerana tidak dapat disahkan sama ada mereka menaiki kereta api itu atau sebaliknya. Menteri Alam Sekitar, Segolene Royal berkata, 49 orang dipercayai menaiki kereta api itu pada sesi percubaan itu yang melibatkan kakitangan SNCF, ahli keluarga dan jemputan lain. Kemalangan itu dipercayai disebabkan kelajuan melampau, walaupun masih terlalu awal untuk membuat dakwaan sedemikian. Royal berkata, pihaknya menolak kemungkinan ia berlaku akibat sabotaj, bagaimanapun kebimbangan tercetus kerana ia berlaku sehari selepas serangan di Paris yang mengorbankan sekurang-kurangnya 129 nyawa. Gambar Reuters menunjukkan sebahagian gerabak itu memasuki terusan di sepanjang laluan, manakala bahagian lainnya mengalami kerosakan. Pasukan perubatan dan penyelamat polis turut berada di lokasi kejadian. Fasa kedua Paris-Strasbourg menggunakan laluan berkelajuan tinggi TGV di mana kemalangan itu berlaku dijangka beroperasi pada April 2016.