LAMAN media sosial dikemaskini dengan pantas bagi membantu orang ramai mengikuti perkembangan serangan berdarah di Paris pada petang Jumaat. Facebook mengaktifkan Safety Check dengan menekan butang Saya Selamat untuk membantu orang ramai di Paris. Ciri ini juga bagi membolehkan rakan dan saudara mencari maklumat mengenai tragedi itu. Ketua Pegawai Eksekutif Facebook Mark Zuckerberg mengucapkan takziah kepada penduduk Paris. "Kami sudah mengaktifkan Safety Check, jadi jika anda berada di Paris, anda boleh klik butang anda selamat atau boleh semak rakan dan keluarga yang lain," katanya di laman Facebook pada malam Jumaat. Zuckerberg mengumumkan ciri itu pada April berikutan gempa bumi di Nepal untuk membantu penduduk yang tinggal di kawasan yang sering dilanda bencana. Google juga mengumumkan sokongan mereka kepada pengguna untuk berkomunikasi dari sebarang lokasi ke Perancis secara percuma menggunakan panggilan Google Hangouts yang membolehkan Voice Over Internet Protocols (VoIP) disambungkan dengan Google Voice. Dilancarkan pada September 2014, aplikasi itu membolehkan pengguna untuk membuat panggilan ke nombor telefon melalui sambungan data. Pengguna boleh menghubungi dengan nombor kod telefon Perancis +33 secara percuma dengan kaitan serangan Paris. Pengguna Twitter juga melancarkan hashtag #PorteOuverte untuk membantu orang ramai mencari perlindungan daripada serangan itu. Paris diisytihar darurat pada malam Jumaat selepas serangan yang dipercayai kejadian paling teruk sejak Perang Dunia Kedua yang mengorbankan 120 orang di bandar itu.