NEW DELHI: Lebih daripada 90 rakyat Malaysia masih terkandas di bilik hotel dan rumah mereka dengan pihak berkuasa India memperhebatkan operasi besar-besaran bagi mencari dan menyelamat mangsa. Lebih banyak bot dan helikopter digunakan hari ini berikutan lawatan perdana menteri Narendra Modi lewat petang semalam ke kawasan yang terjejas teruk dengan gelombang kedua banjir. Konsul Jeneral Malaysia R. Citra Devi ketika dihubungi berkata sehingga lewat malam tadi, kira-kira 249 rakyat Malaysia menghubungi pusat krisis banjir yang ditubuhkan pejabatnya untuk memberikan bantuan. "Kira-kira 158 daripada mereka diselamatkan dengan bantuan pihak berkuasa tempatan dan ada yang berjaya mencari jalan ke Tiruchi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Bengaluru di Karnataka," tambah Citra. Beliau berkata sehingga pukul 10 pagi tadi, 91 pelancong dan pelajar Malaysia masih terkandas tetapi kebanyakan daripada mereka berada di 'zon selamat' dengan beberapa kawasan banjir sudahpun surut. "Satu-satunya masalah utama yang kami hadapi di sini pada masa ini ialah kekurangan makanan dan kami tidak mempunyai sokongan logistik yang mencukupi khususnya bot untuk menyelamatkan mereka," kata Citra. Konsul Jeneral itu berkata kebanyakan kedai dan pejabat masih ditutup dan bandar raya itu masih belum pulih. Beliau berkata cuaca hari ini baik dengan beberapa stesen minyak di bandar itu sudah beroperasi. Jabatan Meteorologi India (IMD) meramalkan lebih banyak hujan akan turun di Tamil Nadu pada 36 jam akan datang. Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa penerbangan India mengumumkan tujuh penerbangan komersil beroperasi semula pagi ini dari pangkalan udara Rajali kira-kira 70 kilometer dari Chennai manakala lapangan terbang antarabangsa masih ditutup kerana landasan ditenggelami air. Menteri Dalam Negeri India Rajnath Singh memberitahu Parlimen semalam bahawa sebanyak 269 orang maut akibat hujan lebat di Tamil Nadu, 54 di Andhra Pradesh dan dua kematian dicatatkan di Puducherry.-- Bernama