suria

Ratusan Tombak, Panah Dirampas, 4 Maut Pergaduhan Di Penjara Bali

DENPASAR: Ratusan tombak, parang dan panah dirampas selepas tercetusnya pergaduhan antara dua kumpulan di dalam dan luar Penjara Kerobokan dekat sini.

Kejadian di pusat tahanan kawalan ketak yang menempatkan majoritinya banduan asing pada lewat Khamis itu mengakibatkan empat maut, termasuk dua banduan, manakala dua lagi dilaporkan cedera.

Semua yang mati dan cedera itu adalah rakyat Indonesia.

Ketua Polis Bali Sugeng Priyanto berkata, pergaduhan berlaku dalam penjara membabitkan banduan.

"Seorang banduan mati kerana cedera parah di perut sementara seorang lagi cedera teruk di belakang badan," katanya.

Ketika anggota dua kumpulan itu bergaduh di dalam penjara yang terletak berhampiran kawasan tumpuan pelancong, ahli mereka di luar pula mendesak pihak berkuasa supaya dibenarkan masuk.

Polis berusaha menyuraikan mereka, tetapi anggota kumpulan terbabit bergaduh sesama sendiri di jalan raya berhampiran bandar ini menyebabkan dua terbunuh dan dua cedera.

Susulan kejadian itu, polis memindahkan 59 banduan ke penjara lain di pulau peranginan itu.

Polis juga meningkatkan kawalan keselamatan di luar penjara berkenaan.

Bagaimanapun, sehingga ini, tidak dapat dipastikan punca pergaduhan.

Bali, tombak, Penjara Kerobokan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Star Wars 'Serbu' Rumah Putih

Artikel Lain