suria

Mejar Tentera Seloroh Bawa Bom Punca Penerbangan Tangguh Dua Jam

TINDAKAN seorang penumpang lelaki berseloroh membawa bom ketika menaiki pesawat Lion Air menyebabkan penerbangan Pekanbaru ke Medan itu terpaksa ditangguh dua jam.

Pengurus Besar Lapangan Terbang Sultan Syarif Kasim II di Pekanbaru, Riau, Jaya Tahoma Sirait berkata, penerbangan JT141 yang membawa 189 penumpang itu dijadualkan terbang pada 3.15 petang ke Lapangan Terbang Kuala Namu.

Kejadian itu berlaku sebelum pesawat berlepas apabila anak kapal meminta untuk meletakkan beg yang dipegang lelaki terlibat yang juga seorang anggota tentera ke tempat meletak bagasi.

Bagaimanapun, lelaki di tempat duduk 18B itu memberitahu pramugari berkenaan supaya berhati-hati kerana beg itu berisi bom.

Sebaik menerima laporan kejadian itu, juruterbang menangguhkan penerbangan berkenaan.

"Anggota tentera itu kemudian disoal siasat, mungkin dia berseloroh tetapi berdasarkan prosedur operasi standard keselamatan lapangan terbang insiden itu perlu disiasat," katanya.

Susulan kejadian itu, semua penumpang diarah meninggalkan pesawat dan bagasi serta kargo diperiksa.

Tamoha berkata, lelaki yang dikenali sebagai S itu dikenal pasti sebagai anggota tentera Indonesia berpangkat mejar.

Beliau berkata, selepas selesai pemeriksaan keselamatan, pesawat itu berlepas pada 5.30 petang.



Lion Air, Pekanbaru, Medan, bom

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain