JAKARTA: Kira-kira tujuh tahun lalu, Bahrun Naim mengusahakan cafe Internet di pekan kecil Solo, Indonesia. Pada Khamis, dia dikenal pasti polis sebagai dalang di sebalik serangan berdarah di ibu negara ini dimana militan Negara Islam (IS) mengakui bertanggungjawab melakukannya. Sebelum itu, Bahrun juga pernah ditahan pada 2011 kerana memiliki senjata api secara tidak sah dan menjalani hukuman penjara tiga tahun. Sejak itu, dia dikatakan terlibat dengan jaringan militan dan menjadi penggerak utama yang mengendalikan kegiatan itu di sekitar Solo dan Jawa Tengah. Setahun lalu, dia ke Syria untuk menyertai kegiatan IS dan dipercayai terlibat secara langsung menyelaras serangan pada Khamis yang mengorbankan tujuh nyawa. Lima militan dan dua awam terbunuh dalam serangan pertama yang dilancarkan militan di Indonesia, negara yang mempunyai populasi umat Islam paling ramai di dunia. Selepas serangan terancang di Paris pada November, kumpulan militan itu mewujudkan blog yang menjelaskan mengenai jihad menggunakan kaedah guerrila dari kawasan hutan ke bandar di Indonesia. Reuters pernah menghubungi Bahrun pada 24 November dan dia mengakui mempunyai penyokong yang cukup untuk bertindak di negara kelahirannya itu. "Hanya menunggu masa yang sesuai untuk bertindak," kata lelaki yang dikenali sebagai Bahrun Naim itu. Bagaimanapun Bahrun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komennya pada Khamis. Susulan itu, pihak risikan mulai memperoleh beberapa isyarat berkaitan rancangan serangan di Indonesia. Pihak berkuasa anti-pengganas di Indonesia percaya ada sekurang-kurangnya 1,000 individu yang menyokong kumpulan radikal di seluruh negara itu. Tindakan susulan yang dilakukan membawa kepada penahanan lebih 12 lelaki di sekitar kepulauan Jawa yang disyaki merancang serangan ketika sambutan Krismas dan cuti sempena Tahun Baharu 2016. Bahan membuat bom, jaket dan beberapa lagi berkaitan serangan pengebom berani mati ditemui dalam serbuan yang dilakukan di beberapa lokasi. Siasatan polis mendapati, kebanyakan yang ditahan memperoleh dana dan sokongan daripada Bahrun yang menganggap Indonesia sepatutnya ditadbir sebagai sebuah negara Islam dengan berlandaskan agama itu. Ketua Polis Jakarta, Tito Karnavian berkata, Bahrun telah lama merancang untuk menyerang ibu negara Indonesia itu. Malahan, pakar militan Islam yang berpangkalan di Indonesia, Sidney Jones mendedahkan Bahrun pernah mengesa penyokongnya supaya meneliti perancangan, sasaran, tempoh masa sesuai, penyelarasan, kawalan keselamatan dan keberanian pengganas dalam kejadian di Paris menerusi posting sebuah blog. Bagaimanapun, kurangnya jumlah mangsa dalam tragedi pada Khamis kerana militan terlibat masih kurang pengalaman daripada segi latihan dan senjata.