HASRAT kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dari Amerika Syarikat yang menghidap kanser untuk menjadi terkenal di China akhirnya menjadi kenyataan. Dorian Murray dari Rhode Island kini dikatakan menghitung hari-hari terakhirnya selepas disahkan menghidap ketumbuhan pediatrik kanser yang dikenali sebagai alveolar rhabdomyosarcoma. Dorian memberitahu bapanya awal minggu ini mengenai hasratnya itu. Susulan itu, bapanya membuat posting impian anaknya itu di laman Facebook meminta rakyat China mengedarkan gambar Dorian dan menandatanganinya dengan mesej "#D-Strong." Hasrat Dorian itu termakbul apabila ia dengan pantas tersebar di seluruh dunia dengan maklum balas yang mencecah angka ribu. Masyarakat dunia mengirim gambarnya di seluruh China dan ia menjadi topik yang trending di Weibo, khidmat mikroblog umpama Twitter di negara itu.