JAKARTA: Ibarat seperti sudah dijemput ajal, begitulah nasib salah seorang mangsa, Rico Hermawan yang maut dalam serangan bom dan senjata api di Jalan Thamrin di sini Khamis lepas. Beberapa saat sebelum berlaku serangan bom dan senjata api itu, Rico sebenarnya ditahan polis. Dia turut disaman kerana melakukan kesalahan lalu lintas di tempat kejadian atas kesalahan membawa motosikal melawan arus. Ketika kejadian, Rico, 21, membawa sepupu perempuannya bernama Anggun Kartikasari, 24, untuk menghadiri temu duga di bangunan berhampiran dan ketika sedang disaman polis, berlaku letupan di pondok polis di Jalan M.H Thamrin yang meragut nyawanya. Rico maut di tempat kejadian kerana terkena letupan manakala Anggun dan polis terlibat parah akibat terkena serpihan bom dan dilaporkan masih dirawat di hospital. Menurut seorang saudara Rico yang dikenali sebagai Didi, beliau mengetahui cerita mengenai kejadian yang menimpa Rico itu setelah melawat Anggun di hospital yang telah boleh bercakap tetapi masih lemah dan trauma. Rico bekerja sebagai penjaga rumah mayat di Hospital Polis Republik Indonesia yang akhirnya mayatnya ditempatkan di situ untuk bedah siasat. Mayat Rico dipindahkan ke rumah mayat pada Sabtu. Jenazahnya diserahkan kepada keluarga tengah malam Sabtu dan dibawa pulang oleh keluarganya ke Boyolali, Jawa Tengah untuk dikebumikan. Bapa saudara Rico, Sigit berkata seluruh anggota keluarga masih bersedih dan enggan memberi sebarang kenyataan mengenai tragedi yang menimpa Rico. Katanya, mereka hanya mengetahui kejadian itu menerusi siaran berita televisyen apabila nama Rico disebut dan terdapat polis yang menghubungi keluarganya, mereka bergegas ke Jakarta untuk mengesahkan mayat Rico. Ketua Hubungan Manusia Polis Daerah Metro Jaya, M.Iqbal berkata polis mengesahkan Rico orang awam yang terkorban dan kejadian yang menimpa Rico dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di tepi pondok polis itu. Dalam kejadian serangan bom dan senjata api pagi Khamis lepas, tujuh orang mati termasuk lima daripadanya adalah suspek pengganas, manakala lebih 30 orang termasuk lima anggota polis dilaporkan parah.