suria

Meidyatama Dilantik Ketua Eksekutif Antara

JAKARTA: Ketua Pengarang akhbar The Jakarta Post, Meidyatama Suryodiningrat secara rasmi dilantik sebagai Direktor Utama (Ketua Eksekutif) yang baharu agensi berita nasional Indonesia, Antara, berkuat kuasa Jumaat.

Meidyatama, 48, menggantikan Saiful Hadi Idham yang dilantik sebagai Penasihat Kanan Antara.

Antara yang ditubuhkan pada tahun 1937 kini telah menjadi sebuah syarikat berkaitan kerajaan di bawah kelolaan Kementerian Badan Usaha Milik Negara (BUMN).

Pelantikan Meidyatama diumumkan oleh Timbalan Pengarah Bidang Usaha Pertambangan, Industri Strategis dan Media Kementerian BUMN, Harry Sampurno pada Sabtu.

Menurut laporan agensi berita itu, Meidyatama dipetik sebagai berkata, beliau bertekad untuk membangunkan Antara dan memberikan perkhidmatan terbaik dan tidak berhasrat membuat perubahan secara mendadak.

"Saya tidak datang untuk mengobrak-abrik Antara, saya tidak merasa lebih baik dari apa yang ada di Antara, tapi kan perubahan selalu terjadi. Tugas saya mengambil yang terbaik yang sudah ada dan menjadikan lebih baik apa yang kurang baik," katanya.

Meidyatama memulakan karier kewartawannnya dengan akhbar The Jakarta Post sejak 1993 dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Politik dan Sejarah dari University Carleton di Ottawa, Kanada dan ijazah Sarjana dalam bidang yang sama di Weatherhead Center for International Affair, University of Harvard.

Sementara itu, Saiful Hadi ketika ditemui Bernama berkata, beliau akan terus bertugas di Antara sebagai Penasihat Kanan.

Katanya, selain itu beliau akan terus memberi komitmen sebagai Pengerusi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) Indonesia dan Pengerusi Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia-Indonesia (Yirmi) di Indonesia.

Beliau berkata, Yirmi akan mempunyai sebuah urusetia yang akan beroperasi di pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia di sini tidak lama lagi.

"Saya akan terus bekerja seperti biasa dengan peranan yang berbeza di Antara tetapi saya juga akan terus memegang amanah untuk menjalankan tugas sebagai pengerusi Iswami dan Yirmi," katanya. 

Artikel Berikut

Suami Potong Hidung Isteri

Artikel Lain