NEW DELHI: Sebuah pesawat penumpang milik India, GoAir terpaksa mendarat cemas di Nagpur barat negara itu pada Sabtu selepas menerima panggilan ancaman bom, kata syarikat penerbangan itu. Pesawat GoAir yang membawa 150 penumpang ketika itu dalam penerbangan dari bandar Bhubaneshwar ke Mumbai apabila pihak berkuasa menerima satu panggilan tidak dikenali yang memberitahu terdapat bom dipasang di dalam pesawat berkenaan. "Ekoran panggilan mengenai ancaman bom itu, (pesawat) dilencongkan ke Nagpur," kata GoAir dalam satu kenyataan. Menurut syarikat penerbangan itu, semua penumpang dipindahkan dan pasukan keselamatan lapangan terbang membuat pemeriksaan di dalam termasuk bagasi. Ia berkata, tiada bom dijumpai di dalam pesawat tersebut dan para penumpang meneruskan penerbangan ke Mumbai. Menurut syarikat penerbangan itu lagi, pihak polis melakukan siasatan terhadap ancaman tersebut. - AFP