AYVACIK: Sekurang-kurangnya 37 maut termasuk kanak-kanak ditemui terdampar di pantai Turki selepas sebuah bot pendatang karam ketika cuba memasuki Eropah. Media asing yang merakamkan kejadian pada Sabtu memaparkan keadaan kanak-kanak yang mati lemas dihanyutkan ombak ke pantai ke tepi pantai dekat Bandar Ayvacik di timur laut Wilayah Canakkale. Salah satu gambar AFP menunjukkan kanak-kanak yang mati berseluar gelap dan berbaju biru, dengan mukanya ditutup dengan topi. Tambah menyedihkan apabila puting kanak-kanak itu berada di sisi mangsa. Gambar lain menunjukkan seorang pegawai polis Turki memasukkan jasad seorang kanak-kanak ke dalam beg mayat. Kejadian itu mengimbau saat kematian kanak-kanak Syria, Aylan Kurdi di pantai Turki pada September lalu. Setakat ini, jumlah kanak-kanak yang lemas dalam kejadian berhampiran Pulau Lesbos, Greece itu belum dapat dipastikan. Laporan awal menyebut lima terkorban.