suria

49 Banduan Maut Akibat Rusuhan Di Penjara Topo Chico

MONTEREY: Pergaduhan menggunakan senjata tajam dan kayu antara dua kumpulan banduan yang bersaing di penjara di bandar utara Mexico ini setakat ini telah meragut 49 nyawa.

Kejadian pada awal pagi itu turut menyebabkan bilik simpanan bekalan di bangunan penjara itu terbakar.

Gabenor Daerah Nuevo Leon, Jaime Rodriguez berkata, 12 yang lain dilaporkan cedera dalam kejadian di Penjara Topo Chico itu.

Susulan itu, polis rusuhan dan ambulans turut dikerahkan ke penjara itu, manakala keluarga banduan berkumpul di luar bangunan untuk mendapatkan maklumat berkaitan kejadian itu.

Bagaimanapun, keluarga banduan itu semakin berang apabila pihak berkuasa penjara masih enggan memaklumkan perkembangan terkini insiden itu, menyebabkan ada yang bertindak membaling batu ke pintu pagar penjara.



Kata Rodriguez, punca kejadian masih disiasat, bagaimanapun ada beberapa banduan yang pernah menjalani hukuman lebih sekali di situ menggunakan nama berbeza.

"Pergaduhan bermula sekitar tengah malam dan ia berlarutan sehingga 40 minit  apabila dua kumpulan banduan itu menyalakan api di kawasan simpanan bekalan," katanya.

Katanya, salah satu kumpulan banduan diketuai kartel dadah Zetas, Juan Pedro Zaldivar Rarias yang juga dikenali sebagai Z-27.

Manakala, kumpulan pesaingnya pula diketuai Jorge Ivan Hernandez Cantu yang juga anggota kartel dadah Gulf.

Bagaimanapun, kedua-duanya bukan antara banduan yang terkorban dalam pergaduhan itu.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Doktor Muda UK Mogok Lagi

Artikel Lain