suria

Mangsa Gempa Tainan Meningkat 114, Tiga Masih Hilang

Tiga lagi mangsa dilaporkan masih gagal dikesan di bawah runtuhan bangunan Wei-Kuan akibat gempa yang melanda Tainan minggu lalu.

TAINAN: Pasukan menyelamat menemui 114 mayat di bawah  runtuhan bangunan pangsapuri akibat kejadian gempa bumi yang melanda bandar ini minggu lalu.

Setakat ini, hanya tiga penghuni kompleks kediaman Wei-Kuan yang tumbang itu masih belum ditemui.

Selain angka kematian, 550 yang lain yang berjaya diselamatkan mengalami pelbagai kecederaan, mengikut perangkaan terkini Agensi Bomba Kebangsaan.

Lebih daripada 280 orang ditarik keluar dari runtuhan bangunan 17 tingkat itu sejak gempa dengan magnitud 6.4 tersebut melanda.

Wei-Kuan adalah satu-satunya bangunan tinggi di Taiwan yang tumbang sepenuhnya, menimbulkan persoalan mengenai pembinaan pangsapuri itu yang siap dibina pada 1994.

Pendakwa raya Tainan telah menahan pemaju bangunan tersebut, Lin Ming-Hui dan dua arkitek atas tuduhan kecuaian profesional sehingga menyebabkan kematian berikutan bencana itu.

Pasukan penyiasat menemui kecacatan dalam binaan bangunan tersebut termasuk tiadanya galang kerangka besi penyokong, sebaliknya ruang kosong konkrit diisi dengan tin dan busa.– AFP


Wei-Kuan, Tainan, gempa bumi

Artikel Lain