BANGKOK: Dua lelaki etnik Uighur yang disyaki melakukan serangan bom di Kuil Erawan di tengah bandaraya Bangkok pada tahun lalu akan mengemukakan rayuan berhubung dakwaan tersebut. Bilal Mohammed, atau lebih dikenali sebagai Adem Karadag, dan Yusufu Mieraili tiba di mahkamah tentera dalam keadaan berkaki ayam dan bergari untuk sesi perbicaraan yang bermula awal pagi Selasa. Mereka didakwa cuba melakukan dan merancang pembunuhan, memiliki senjata dan memasuki negara itu secara haram semasa insiden serangan pada 17 Ogos lalu. Serangan bom itu menggorbankan 20 nyawa termasuk lima rakyat Malaysia manakala 130 orang mengalami kecederaan. Polis berkata kedua-dua suspek mengakui bertanggungjawab melakukan serangan dalam soal siasat terdahulu. Polis Thai mendakwa Mohammed, individu pertama yang ditahan sebagai lelaki dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memakai baju-T berwarna kuning dan meletakkan sebuah beg di kuil tersebut sebelum berlakunya letupan. Namun semasa sesi perbicaraan pada Selasa, peguam tertuduh, Schoochart Kanpai, mendakwa anak guamnya 'dipaksa untuk mengaku' melakukan jenayah tersebut. Dia bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai jenis kekasaran yang dilakukan terhadap anak guamnya itu. "Suspek akan menafikan dakwaan melakukan serangan bom dan pembunuhan, mereka hanya mengaku bersalah memasuki negara ini secara haram," kata Schoochart.