SEORANG penyampai ramalan cuaca pengsan semasa program berita yang disiarkan secara langsung. Penyampai program berita di tenggara England, BBC South East Today, Rachel Mackley kelihatan mengalami kesukaran untuk bernafas semasa melaporkan tentang ramalan cuaca. Beliau bagaimanapun sempat memohon maaf kepada dua penyampai berita utama program berkenaan, Polly Evans dan Rob Smith sebelum pengsan. "Saya minta maaf, saya hendak pengsan," kata Mackley yang merupakan ibu kepada seorang anak itu. Kamera kemudiannya ditukarkan kepada paparan dua penyampai berita dan Evans kemudiannya berkata: "Kami perlu periksa Rachel (Mackley) di sana." Sejumlah penonton kemudiannya memberi maklum balas kepada BBC berhubung insiden berkenaan bagi mengetahui keadaan penyampai ramalan cuaca itu yang telah berkhidmat dengan BBC South East Today sejak 2011. Mackley kemudiannya mendapat pujian di media sosial berhubung profesionalismenya. BBC South East menerusi kenyataan di Twitter kemudiannya mengesahkan Mackley dalam keadaan sihat selepas insiden itu. Seorang jurucakap berkata: "Ingin beritahu anda bahawa penyampai ramalan cuaca Rachel telah sebar dan berada dalam keadaan baik." - Mail Online