suria

Tandas Mewah Dibina Sempena Lawatan Puteri Thailand Dibiar Di Kemboja

Gambar diambil pada 17 Februari lalu menunjukkan pekerja binaan berdiri di luar bilik mandi mewah yang dibina sempena lawatan Puteri Maha Chakri Sirindhorn berhampiran tasik Yeak Lom di wilayah Ratanakiri Kiri, Kemboja.
SEBUAH tandas dan bilik air mewah yang dibina khas untuk puteri Thailand yang melawat Kemboja telah dibiarkan tanpa digunakan, walaupun ia bernilai AS$40,000 (RM168,500) menurut pegawai-pegawai tempatan, Selasa, dalam sebuah negara miskin di mana majoriti penduduk luar bandarnya tidak mempunyai akses kepada tandas.

Kemudahan ini dibina untuk lawatan Puteri Maha Chakri Sirindhorn ke tasik Yeak Lom di timur laut Kemboja pada Isnin.

Tetapi lawatan dua jam itu berakhir dengan bilik air mewah itu langsung tidak disinggahi, kata pemimpin masyarakat, Ven Churk kepada AFP.


Tandas itu kemudian 'dialihkan' dan bilik mandi bersebelahannya kini akan bertukar menjadi pondok pos keselamatan untuk pelancong yang melawat tasik yang dikelilingi pokok itu, katanya.

"Tuan Puteri tidak masuk ke dalam bilik air itu, hanya melihat dari luar dan mengambil beberapa keping gambar," katanya.

Tandas itu mengambil masa lebih dua minggu untuk dibina dan kosnya adalah kira-kira AS$40,000, kata Ven Churk.


"Saya tidak pernah melihat bilik mandi seperti itu," katanya.

Gabenor wilayah Nhem Sam Oeun mengesahkan tandas itu tidak digunakan, sambil menambah ia adalah 'sangat moden, sangat baik...ia tidak boleh disimpan kerana ia adalah untuk kaum kerabat'.

Pihak Thai telah membiayai kos pembinaan, katanya.

Laporan media tempatan menyatakan bahawa binaan mewah itu dibina oleh Siam Cement Group, sebuah gergasi pembinaan Thai yang sebahagiannya dimiliki oleh Biro Hartanah Crown, yang menguruskan aset dan pelaburan kerabat diraja Thai.

SCG tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Walaupun harganya yang mahal telah menjadi berita utama antarabangsa, ia tidak menerima sebarang perhatian media di Thailand, di mana undang-undang negara itu menetapkan hukuman berat terhadap sebarang kritikan yang dianggap dilakukan terhadap kerabat diraja.

Ketua komuniti Yeak Lom, Tin Luong memberitahu AFP bahawa beliau kagum dengan bilik mandi itu yang 'sangat cantik'.

"Jurutera Thai telah membina bilik air itu," katanya mengesahkan semua bahan-bahan itu dibawa dari Thailand.

"Saya menganggarkan ia boleh menelan kos sehingga $40,000 untuk membina bilik mandi ini. Ia kelihatan seperti sebuah rumah dengan hiasan yang indah," katanya.

Angka yang dikeluarkan tahun lepas oleh Unicef menyatakan bahawa 61.5 peratus daripada rakyat Kemboja yang tinggal di kawasan luar bandarmembuang air besar secara terbuka - dengan angka itu adalah salah satu kadar tertinggi di Asia Tenggara kerana mereka tidak mempunyai akses kepada tandas.

Monarki Thailand adalah antara yang terkaya di dunia dengan kekayaan yang sebahagiannya dibina melalui pelaburan dalam perniagaan tempatan utama seperti SCG dan Siam Commercial Bank.

Selepas melawat tasik, puteri melancarkan pusat kesihatan baru yang telah didermakan oleh kerabat diraja Thai. Beliau juga bertemu dengan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen dalam lawatan itu, yang berakhir pada Rabu.

Artikel Lain