ISLAMABAD: Pakistan pada Isnin mengesahkan telah melaksana hukuman mati terhadap seorang pengawal peribadi kerana membunuh salah seorang ahli politik liberal terkemuka di negaranya yang mahu pembaharuan undang-undang kekufuran. Pesalah, Malik Mumtaz Hussain Qadri didapati bersalah menembak mati Salman Taseer yang merupakan Gabenor Punjab dan anggota Parti Rakyat Pakistan (PPP), di luar kedai kopi berhampiran kediamannya di Islamabad pada 4 Januari 2011. "Saya mengesahkan bahawa Malik Mumtaz telah dihukum gantung di penjara Adialia pada awal pagi Isnin," kata pegawai polis tempatan, Sajjid Gondal. Berikutan itu, pihak berkuasa anti rusuhan dan ambulans telah ditempatkan berhampiran rumah Malik Mumtaz pada pagi Isnin bagi menghalang kebanjiran orang ramai. Malik Mumtaz diangkat sebagai hero oleh penduduk Islam Pakistan berikutan ketegasannya terhadap pihak yang cuba mempertikai undang-undang Islam.