suria

'Ibu Harimau' 'Dera' Anak 9 Tahun Belajar 18 Jam Sehari

SEORANG wanita dari bandar Chongqing di selatan China digelar 'ibu harimau' kerana menyiapkan jadual harian yang ketat untuk anak lelakinya yang berusia sembilan tahun.

Ketegasannya terserlah menerusi jadual belajar untuk anaknya yang menjadi viral di laman media sosial. 

Menerusi jadual itu, anak lelakinya perlu bangun pukul 5 pagi dan tidur pada pukul 11 malam setiap hari.

Pada hari biasa, budak lelaki itu perlu melalui kelas tambahan Bahasa Inggeris selain menghadiri sesi persekolahan dan menyiapkan kerja sekolah, manakala pada hujung minggu pula dia perlu berlatin piano dan kaligrafi, berenang dan bersiap sedia untuk Olimpiad Matematik Antarabangsa.

Portal berbahasa Cina melaporkan, ibu dengan nama keluarganya Liu terkejut apabila menerima pelbagai kritikan berkaitan cara dia mendidik anaknya.

Graduan Universiti Peking itu bagaimanapun menjelaskan apa yang dilakukannya itu hanya mengikut jejak bapanya yang juga seorang anggota tentera ketika membesarkannya.

"Pesan bapa, satu-satunya perkara yang boleh dilakukan setiap anak adalah belajar. Jika gigih belajar dari sekarang, seorang anak itu tidak akan disisihkan masyarakat," katanya.

Liu juga mempertahankan tempoh tidur anaknya selama enam jam setiap hari.

"Sebenarnya enam jam mencukupi kerana dia tidak pernah mengantuk di kelas. Jika dia mendapat markah yang baik, kami membawanya bercuti sebagai habuan," katanya.

Mengenai pelbagai aktiviti yang dirancang kepada anak lelakinya, ibu ini menjelaskan ia untuk manfaat jangka panjang.

Beliau juga menggesa ibu bapa menggunakan kaedah sama untuk mendidik anak mereka.

Gelaran 'ibu harimau' digunakan secara meluas pada 2011 selepas profesor perundangan dari Yale yang juga penulis, Amy Chua menghasilkan buku kontroversi, Battle Hymn Of The Tiger Mother.

Buku itu mengetengahkan strategi ibu bapa untuk membentuk dua anak perempuan sehingga berjaya.

Artikel Lain