suria

Akhbar Zaman Sempat Kutuk Tindakan Ambil Alih Operasi

ANKARA: Akhbar perdana terbesar Turki, Zaman mengutuk tindakan pihak berkuasa mengambil alih operasinya.

Perkara itu dimuatkan menerusi edisi terakhir akhbar berkenaan yang diterbitkan sebelum diserbu polis pada Sabtu.

"Media Turki melalui pengalaman paling buruk dalam sejarah," demikian dicatatkan pada cetakan terakhir Zaman.

Pihak berkuasa menyerbu ibu pejabat Zaman beberapa jam selepas mahkamah mengarahkan pengurusan akhbar dan lembaga editorial diambil alih oleh lembaga pemegang amanah yang dilantik oleh hakim.

Tindakan berterusan terhadap Zaman menyebabkan penyokong mula berkumpul di depan ibu pejabat akhbar berkenaan hingga mendorong pihak berkuasa Turki terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan ratusan penunjuk perasaan.

Difahamkan, pengambilalihan akhbar yang bergabung dengan gerakan Fethullah Gulen itu dibuat selepas Presiden Recep Tayyip Erdogan dan parti pemerintah, Keadilan dan Pembangunan (AK) memperhebatkan tekanan ke atas media di negara tersebut.

Susulan itu, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), John Kirby turut mendesak pihak berkuasa Turki supaya menghormati kebebasan akhbar di negara itu, lapor Press TV.


Zaman, Turki, Recep Tayyip Erdogan

Artikel Lain