BALI: Operasi menyelamat masih giat dijalankan selepas sebuah feri, Tafelia 2 yang membawa 51 penumpang dan 14 anak kapal karam di Selat Bali, Jumaat. Laporan yang diterima pasukan penyelamat mendapati kapten feri, seorang anak kapal dan ibu serta anaknya yang berusia 18 bulan dilaporkan masih hilang. Kejadian cemas itu berlaku selepas 15 minit memulakan pelayaran. Feri itu dalam perjalanan dari pelabuhan Gilimanuk di Bali ke Banyuwangi di Jawa. Kebanyakan penumpang sempat menyelamatkan diri ketika feri berkenaan mulai karam. Ketua tentera laut negara itu, Lt Kol Wahyu Endriawan berkata, keseluruhannya lebih 40 orang telah diselamatkan tanpa mengalami sebarang kecederaan. Laporan MetroTV memetik Wahyu sebagai berkata, pihaknya masih belum pasti bilangan mangsa yang terperangkap dalam feri berkenaan apabila ia karam.