JAKARTA: Sebanyak 12 buah wilayah di Indonesia akan menjadi gelap pada pagi Rabu ekoran fenomena gerhana matahari penuh. Ribuan pelancong asing dan tempatan kini mula mengunjungi wilayah-wilayah yang akan mengalami fenomena gerhana penuh itu yang berlaku pada hari cuti umum iaitu Hari Raya Nyepi. Media-media tempatan melaporkan kerajaan tempatan di 12 wilayah terlibat menganjurkan pelbagai kemudahan untuk para pelancong dengan menyediakan tempat dan lapangan untuk melihat fenomena itu berlaku. Wilayah Bengkulu ialah wilayah pertama yang akan dilintasi gerhana matahari dan kerajaan tempatan wilayah itu telah menjadikan Benteng Marlborough untuk melihat fenomena itu dengan menyediakan pelbagai jenis teropong. Menurut jurucakap pihak berkuasa wilayah itu, orang ramai di Bengkulu akan menyaksikan gerhana paling gelap apabila ia dilintasi pada jarak 1,008 magnitud. Gerhana matahari pada posisi lintasan titik kosong dijangka terjadi di daerah Muko-muko tepat pada 7.19 pagi dan ia disebut sebagai puncak gerhana iaitu apabila bulan akan menutupi matahari secara penuh. Gerhana di wilayah Bengkulu akan bermula pukul 6.19 pagi hingga 8.27 pagi waktu Indonesia Barat dan puncak gerhana akan berlaku selama satu minit pada 7.19 pagi. Acara di Benteng Marlborough akan bermula dengan solat sunat gerhana secara berjemaah yang akan disertai oleh Gabenor Bengkulu, Ridwan Mukti. Ketua Lembaga Penerbangan dan Antariksa Nasional (LAPAN), Thomas Djamaluddin dipetik sebagai berkata, gerhana matahari penuh itu pernah berlaku di Indonesia pada tahun 1983, 1988 dan 1995 dan fenomena dijangka berlaku lagi pada tahun 2023. Wilayah lain yang akan mengalami gerhana matahari penuh ialah di Sumatera Barat, Sumatera Selatan, Jambi, Bangka Belitung, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah, Kalimantan Selatan, Kalimantan Timur, Sulawesi Barat, Sulawesi Tengah dan Maluku Utara. Hotel-hotel di kawasan untuk menyaksikan gerhana itu telah habis ditempah dan pihak berkuasa tempatan di wilayah berkenaan juga telah membenarkan para peniaga untuk membuka gerai sementara bagi menjual makanan, minuman dan juga cenderamata kepada para pengunjung di tempat yang disediakan. Bagi wilayah-wilayah lain termasuk Jakarta, orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena gerhana matahari separa sahaja. - BERNAMA