LAGOS: Dua puluh dua orang maut dalam insiden runtuhan bangunan lima tingkat yang dalam pembinaan di bandar Lagos di Nigeria, kata pegawai keselamatan pada Rabu. "Kita menemui empat lagi mayat hari ini selepas menyambung semula operasi mencari, menjadikan jumlah kematian setakat ini seramai 22 orang," kata Ibrahim Farinloye dari Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan kepada AFP. "Kira-kira 13 orang ditemui selamat di sebalik runtuhan bangunan, dan kesemua mereka dibawa ke hospotal di Pulau Lagos untuk rawatan," katanya. Kejadian bangunan runtuh berlaku pada Selasa di Lagos, kawasan yang mempunyai penduduk kira-kira seramai 20 juta orang. Bagaimanapun masih belum dipastikan punca kejadian yang berlaku selepas hujan lebat. Farinloye berkata, agensi kerajaan tempatan sedang menjalankan siasatan. - AFP