suria

Pelayan Dipenjara Kerana Raba Punggung Lelaki

Chew Yeow Keong mengaku bersalah di atas pertuduhan mencabul seorang lelaki berusia 20 tahun. - The Straits Times/ANN

SINGAPURA: Seorang pelayan separuh masa yang berulang kali meraba punggung seorang lelaki berusia 20 tahun di Stesen MRT Orchard di sini dipenjara 10 minggu pada Isnin.

Chew Yeow Keong, 36, mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan kerana mencabul kehormatan mangsa di pintu tiket stesen tersebut pada 21 Januari tahun lalu.

Tiga lagi kesalahan yang sama dilakukan di ekskalator dan selepas pintu tiket turut dipertimbangkan semasa perbicaraan terhadap lelaki berkenaan.

Mahkamah diberitahu bahawa mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja dan menggunakan stesen MRT Orchard pada pagi hari kejadian.

Mangsa menggunakan ekskalator dari platform dan kemudiannya keluar menerusi pintu tiket.

Bagaimanapun dia merasai punggungnya diraba ketika melalui pintu tiket berkenaan sebelum memalingkan muka ke belakang.

Mangsa yang berasa marah dan malu dengan tindakan Chew kemudiannya mendapatkan bantuan daripada kakitangan stesen dan mereka didatangi anggota polis.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Chew mengekori mangsa secara dekat dengan tangan kanannya menghala ke arah punggung mangsa.

Chew juga dilihat berada di belakang mangsa di pintu tiket yang sama.

Antara kesalahan yang pernah dilakukan Chew sebelum ini ialah mencabul pada 2002 apabila dia dipenjara dan disebat kerana melakukan kekerasan untuk mencabul seorang remaja lelaki berusia 17 tahun.

Chew boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali. – The Straits Times/Asia News Network




Artikel Lain