WASHINGTON: Komander ISIS, Omar al-Shishani disahkan terkorban dalam serangan yang diketuai Amerika Syarikat di timur laut Syria demikian menurut pihak Pentagon. Pemimpin militan yang juga dikenali sebagai Omar the Chechen itu mengalami kecederaan serius dalam serangan pada 4 Mac lalu menyasarkan militan paling dikehendaki dalam sebuah konvoi. "Kami percaya dia kemudiannya meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami," kata jurucakap Pentagon Kapten Tentera Laut, Jeff Davis kepada AFP. Ahad lalu, Kumpulan Pemerhati bagi Hak Asasi Manusia Syria berkata, secara klinikal, Shishani sudah mati beberapa hari lalu. Shishani atau nama sebenarnya Tarkhan Batirashvili adalah seorang daripada pemimpin ISIS paling dikehendaki Washington yang menawarkan wang ganjaran berjumlah AS$5 juta (RM20.5 juta). - AFP