suria

Pilihan Raya: Ahmad Dhani Perhebat Kempen Cabar Ahok

JAKARTA: Penyanyi dan komposer terkemuka Indonesia,  Ahmad Dhani Prasetyo memperhebatkan kempen menjelang pilihan raya gabenor Jakarta 2017 apabila berikrar mencabar gabenor sekarang, Basuki Tjahaja Purnama.

Basuki yang lebih dikenali sebagai Ahok mencetuskan kemarahan sebahagian penduduk bandaraya ini apabila mengarahkan pihak berkuasa memusnahkan serang maksiat terkenal, Kalijodo.

Bagaimanapun, bagi pemuzik kontroversi itu, pencalonannya bukan isu peribadi.

“Bukan saya yang merayu kepada parti dan meminta untuk dicalonkan.

“Parti terbabit yang menghampiri saya, meminta saya menjadi gabenor. Saya menyambut baik cabaran itu kerana saya mempunyai rancangan untuk dilaksanakan jika menjadi gabenor atau timbalan gabenor,” kata Ahmad Dhani.

Menurutnya, dia sudah cukup matang dan mampu berkhidmat kepada negara, baik sebagai ahli politik mahupun sebagai artis.

“Pada usia saya sekarang, saya mahu berkhidmat kepada negara,” katanya.

Ahmad Dhani juga mengakui sudah sudah mendapat sokongan Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) dan Gerakan Indonesia Raya (Gerindra).

Ketika ini, kata Ahmad Dhani, dia akan terus mendekati parti politik lain.

“Saya masih berusaha menemui pemimpin beberapa parti lain untuk menyokong pencalonan saya. Bagaimanapun, saya akan menyerahkan kepada parti itu untuk membuat keputusan sendiri,” kata Ahmad Dhani.

Katanya, sokongan parti politik perlu kerana tidak mempunyai dana peribadi untuk bertanding sebagai calon bebas. - Agensi


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain