WELLINGTON: Robot empat roda dengan ketinggian hampir satu meter dan dilengkapi ruang pemanas akan memberi khidmat sulungnya sebagai penghantar piza di New Zealand. Perkhidmatan canggih itu dikenali sebagai Unit Robotik Domino’s (DRU). Khidmat percubaan yang dihasilkan syarikat gergasi makanan segera, Domino's itu akan menggunakan robot DRU yang dibangunkan di Australia. Pengurus Domino’s New Zealand, Scott Bush berkata, robot berkuasa bateri itu boleh mengisi 10 kotak piza pada sesuatu masa. "Robot DRU turut dilengkapi sensor untuk mengelakkan halangan. "Ia boleh menghantar piza dalam lingkungan jarak 20 kilometer dari premisnya sebelum kembali untuk dicas semula," katanya. Pelanggan akan diberikan kod apabila membuat tempahan. Mereka akan menaip kod tersebut pada papan kekunci DRU untuk membuka kompartmennya dan mengambil piza mereka. “Kami yakin satu hari nanti, robot ini akan menjadi sebahagian daripada keluarga besar Domino’s,” katanya lagi. Walaupun tarikh untuk percubaan itu belum dimuktamadkan, Menteri Pengangkutan, Simon Bridges menyatakan bahawa kerajaan sedia bekerjasama dengan Domino’s dan mahu projek tersebut diteruskan. – AFP