Mangsa-mangsa letupan datang dari serata dunia seperti Morocco, Peru, China, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS), serta dari negara jiran, Perancis dan Belanda.
Sekurang-kurangnya dua rakyat Amerika maut dan beberapa yang lain dilaporkan hilang dalam serangan itu, kata pegawai AS.
Dua adik-beradik warga Belanda, Sascha dan Alexander Pinczowski, yang tinggal di New York selama bertahun-tahun telah bersiap sedia untuk menaiki kapal terbang pulang ke negaranya apabila dua pengebom berani mati menyerang lapangan terbang Brussels pada pagi Selasa.
Alexander sedang bercakap dengan ibunya apabila panggilan tiba-tiba dipendekkan disebabkan letupan, kata bekas duta Amerika Syarikat ke Denmark, James Cain yang juga bapa kepada tunang Alexander.
Mereka adalah antara tiga warganegara Belanda yang menjadi mangsa dalam serangan itu.
Media tempatan menamakan mangsa ketiga sebagai Elita Weah, 41, yang sedang dalam perjalanan ke majlis pengebumian bapa tirinya di AS.
Pakar komputer British David Dixon, berusia 51 tahun dan merupakan penduduk di Brussels telah menghantar sms kepada ibu saudaranya untuk meyakinkan bahawa dia selamat selepas letupan di lapangan terbang.
Tetapi dia telah hilang dan laporan media berkata, dia dilihat berada di stesen metro apabila seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya kira-kira sejam selepas serangan di lapangan terbang.
Keluarga Dixon berkata berita itu 'amat berat dan dahsyat' dan Perdana Menteri, David Cameron menulis ucapan takziah di Twitter. 'Saya rindukan awak'.
Menurut kenyataan dari London, tujuh rakyat Britain adalah antara yang cedera, di mana tiga daripada mereka masih berada di hospital.
Seorang lagi mangsa, warga Itali yang berusia 48 tahun, Patricia Rizzo dan bekerja di Brussels untuk beberapa bulan telah terbunuh dalam letupan di stesen metro.
Rome mengesahkan kematiannya dan sepupunya Massimo Leone memberikan penghormatan kepadanya di Facebook.
Di Paris, kerajaan mengumumkan bahawa seorang warganya telah meninggal dunia dan 12 rakyat yang lain cedera, dengan tiga daripadanya parah.
Kedutaan China di Belgium juga berkata terdapat rakyatnya yang terkorban tanpa memberi sebarang maklumat.