KATHMANDU: Selepas dua tahun Everest tidak menerima pelawat susulan beberapa insiden runtuhan salji yang mengorbankan 35 nyawa, akhirnya laluan ke puncak tertinggi dunia itu akan dibuka Mei ini. Kumpulan pertama lebih 200 pendaki warga asing tiba awal dan kini menuju ke Base Camp sebelum meneruskan pendakian bagi menawan puncak pada ketinggian 8,848 meter itu. “Secara keseluruhan, seramai 236 pendaki asing melibatkan 22 kumpulan telah menuju ke Base Camp untuk persiapan mendaki Everest. “Selain itu, terdapat 23 pendaki Nepal memohon permit pendakian Everest,” kata pegawai Kementerian Pelancongan, Gyanendra Shrestha. Kerajaan Nepal melanjutkan permit mendaki Everest pada 2014 sehingga lima tahun selepas semua ekspedisi dibatalkan pada tahun itu susulan kematian 16 pendaki Nepal dalam tragedi salji runtuh ketika menyiapkan laluan pendakian. Pada 2015 pula, semua ekspedisi dibatalkan sekali lagi apabila salji runtuh akibat gempa bumi kuat pada 25 April membunuh 20 orang di atas gunung itu. Permit tersebut dilanjutkan selama dua tahun. “Selain 22 kumpulan itu, sebanyak enam kumpulan lain telah memohon permit pendakian kali ini,” kata Gyanendra. Menurutnya setiap warga asing membayar yuran AS$11,000 (RM42,904) untuk mendaki Gunung Everest. Musim pendakian bermula pada Mei depan tetapi pendaki-pendaki itu tiba lebih awal untuk menyesuaikan diri dengan suhu dan bentuk muka bumi gunung tertinggi dunia itu.