BEIJING: Angin kencang yang melanda tapak projek binaan di tebing sungai di bandar Dongguan di selatan China mengakibatkan sebuah kren tumbang dan meragut 18 nyawa, manakala lebih 20 lagi cedera. Kren seberat 80 tan itu menghempap bangunan sementara yang diperbuat daripada dua kontena di lokasi kejadian pada pagi Rabu. Agensi berita rasmi, Xinhua melaporkan, kejadian di selatan China itu mengejutkan pekerja di tapak projek pembangunan itu yang bertempiaran lari bagi menyelamatkan diri masing-masing. Jurucakap pasukan penyelamat, Luo Bin memberitahu, mangsa yang dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan dilaporkan mengalami luka serius tetapi dalam keadaan stabil. Katanya, 139 orang berada dalam bangunan tersebut ketika insiden berlaku dan 88 daripanya berjaya melarikan diri. Susulan kejadian itu juga, kerajaan menubuhkan pasukan untuk menyiasat nahas itu.