LONDON: Seorang wanita dari Wales dilarang menamakan bayi perempuannya, Cyanide, menurut keputusan yang ditetapkan mahkamah negara itu pada Khamis. Wanita yang identitinya dirahsiakan itu melahirkan pasangan kembar dan berhasrat menamakan bayi lelakinya, Preacher, manakala yang perempuan sebagai Cyanide. Alasan yang diberi adalah nama sempena racun itu dianggap sebagai yang 'cantik dan menyenangkan' jika dilihat daripada sudut positif kerana ia membantu membunuh pemimpin Nazi, Adolf Hitler. Bagaimanapun, hasrat wanita itu ditentang pemimpin setempat dan hakim mahkamah keluarga memutuskan untuk menolak permohonan ibu berkenaan yang dikemukakan September lalu. Hakim itu memutuskan, tindakan wanita berkenaan tidak akan membantu kebajikan anaknya. Wanita berkenaan bagaimanapun bertindak mencabar keputusan itu sambil berkata, dia berhak memilih nama untuk anaknya. Bagaimanapun, tiga hakim Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan awal untuk tidak membenarkan anak perempuannya dinamakan Cyanide. Salah seorang hakim, Eleanor King berkata, ia adalah kes terpencil yang mendorong hakim untuk campur tangan. "Adalah sukar untuk memikirkan apa yang akan berlaku jika bayi perempuan itu dinamakan sempena racun yang boleh membunuh itu," katanya. Anak-anak wanita berkenaan kini menetap bersama keluarga angkat kerana ibu mereka mempunyai rekod masalah penagihan dadah dan kesihatan mental.