SEOUL: Sebuah mahkamah di Korea Selatan mengarahkan pemilik restoran ayam goreng membayar 14.5 juta Won (AS$12,500) kerana enggan mematuhi larangan menggunakan nama jenama mewah Louis Vuitton. Pemilik yang hanya dikenali dengan nama keluarga Kim menggunakan nama "LOUIS VUITON DAK" pada restorannya di Seoul. Ia adalah singkatan daripada perkataan asal "tongdak" yang bermaksud keseluruhan bahagian ayam. Dia juga menggunakan logo yang hampir menyerupai jenama fesyen Perancis itu. Selain itu dia turut mencetak logo berkenaan di tuala dan kotak pembungkusan makanan. Kecewa dengan tindakan Kim itu, Louis Vuitton memfailkan saman pada September tahun lepas kerana penggunaan nama syarikat untuk menjual ayam goreng telah merosakkan jenama mereka. Sebuah mahkamah daerah di Seoul bersetuju pada Oktober lalu mengarahkan Kim untuk berhenti dan mengancam mengenakan denda 500,000 Won sehari kerana tidak mematuhi arahan. Kim kemudiannya menukar nama restorannya kepada "chaLouisvui tondak". Louis Vuitton mengadu lagi dan minggu ini mahkamah memerintahkan Kim membayar jenama mewah itu sebanyak 14.5 juta Won. "Walaupun dia menukar nama dengan jarak yang berbeza, kedua-dua nama kedengaran hampir sama," kata hakim seperti yang dipetik Korea Times. -AFP