THE HAGUE: Pihak berkuasa Jerman dan Switzerland melakukan serbuan dan menyita beberapa dokumen berkaitan 'bahan letupan' selepas mendapati seorang detektif persendirian warga Jerman menyiasat nahas udara membabitkan pesawat Penerbangan Malaysia MH17. Menurut akhbar The Daily De Telegraaf, antara objek yang dirampas semasa serbuan itu antaranya dokumen 'bahan letupan' yang disifatkan penyiasat Belanda boleh mengecilkan pencarian dalang di sebalik nahas pada 2014 itu. Kesemua 298 penumpang dan anak kapal yang majoritinya adalah rakyat Belanda maut dalam nahas pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Timur Ukraine pada 17 Julai 2014. Pesawat jenis Boeing 777 itu dalam perjalanan dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur semasa kejadian berlaku. "Ada kemungkinan suspek di sebalik insiden pesawat MH17 ditembak jatuh mungkin ada hubungan dengan pejabat detektif tersebut," demikian menurut akhbar tersebut. Menurut akhbar itu lagi, detektif persendirian itu dibayar sekitar 17 juta euro oleh penderma kaya yang identitinya masih lagi tidak diketahui untuk menyiasat punca kemalangan itu. Hanya dikenali sebagai Josef R., detektif itu memulakan siasatannya dua bulan selepas nahas membabitkan pesawat malang berkenaan. Difahamkan pada mulanya dia dijanjikan bayaran sebanyak 30 juta euro (RM138 juta). "Kami berharap agar dapat memperoleh maklumat mengenai perkara ini. Oleh itu serbuan di kediamannya telah dilakukan," kata jurucakap kepada perkhidmatan pendakwaan, Wim De Bruin. Selepas pencarian di rumah detektif tersebut di Bad Schwartau, utara Jerman, peti simpanan di sebuah bank di Zurich, Switzerland turut dikosongkan dan kandungannya dirampas. "Kami sebenarnya tidak tahu apa yang terkandung di dalam peti simpanan itu. Hakim Swiss kini perlu membuat keputusan jika isi kandungannya boleh diserahkan kepada pegawai di Belanda," kata De Bruin.