suria

Pedofil Bayar Untuk Lihat Aksi Seks Kanak-Kanak Secara Online

LONDON: Kemiskinan di Filipina menyebabkan ibu bapa memaksa anak-anak mereka melakukan seks secara langsung dalam talian untuk memenuhi nafsu golongan pedofil di seluruh dunia, yang disifatkan oleh seorang pegawai kanan Yayasan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) sebagai ‘perhambaan kanak-kanak’.

Kanak-kanak seawal umur lima hingga enam tahun dipaksa melakukan kegiatan tidak senonoh itu beberapa kali setiap hari di hadapan kamera web selama sejam pada satu-satu masa.

Ini kerana pembeli terbabit berada di zon atas talian yang berbeza-beza.

"Ia dibantu oleh ibu dan bapa atau saudara mara mereka. Ia juga mungkin dilakukan di rumah mereka.

"Perniagaan ini amat melampau dan kejam yang melibatkan urusniaga berbilion-bilion dolar," kata Ketua Unicef di Filipina, Lotta Sylwander.

Menurutnya, Unicef mendapati Filipina merupakan negara nombor satu sumber pornografi kanak-kanak dan pusat perdagangan perhambaan seksual.

"Teknologi digital mengubah skala dan bentuk penderaan seksual kanak-kanak serta eksploitasi. Dan Filipina kini menyaksikan lebih banyak kes penderaan seksual kanak-kanak secara dalam talian dari 57 kes pada 2013 kepada 89 pada 2014 dan 167 pada 2015," katanya.

Sylwander berkata pusat pemindahan wang perlu menyiasat secara mendalam kegiatan tersebut untuk mengenal pasti pesalah dengan menjejaki pola pembayaran yang mencurigakan.

Sekumpulan kanak-kanak yang berjaya diselamatkan di Manila berkata mereka menerima bayaran 150 peso (RM13.50) untuk mengambil bahagian dalam kegiatan tersebut.

Golongan pedofil akan memindahkan wang dan kemudiannya memberikan arahan mengenai apa yang mereka mahu saksikan.

Dalam kebanyakan kes, kanak-kanak itu dipergunakan oleh orang lain, tetapi ada juga kes di mana ibu bapa kanak-kanak itu sendiri mendera anak mereka atau kanak-kanak itu mendera satu sama lain.

Sylwander berkata, Filipina menerima 7,000 laporan tentang jenayah siber setiap bulan, dengan separuh daripadanya berkaitan penderaan seksual membabitkan kanak-kanak.


pedofilia, Filipina, Unicef

Artikel Lain