suria

Rakyat Malaysia Masuk Indonesia Dikenakan Pemeriksaan Menyeluruh

Budi Karya Sumadi

JAKARTA: Rakyat Malaysia dan Singapura yang memasuki Indonesia bagi sebarang tujuan akan dikenakan pengawasan ketat dan pemeriksaan menyeluruh secara rawak tidak lama lagi.

Syarikat pengendali lapangan terbang di Indonesia, PT Angkasa Pura II dalam satu kenyataan media yang dipetik oleh media-media tempatan menyebut pengawasan dan pemeriksaan ketat itu bagi memastikan rakyat dari kedua-dua buah negara itu yang memasuki Indonesia tidak membawa barangan terlarang terutamanya dadah.

Direktor Utama PT Angkasa Pura II Budi Karya Sumadi berkata tindakan itu diambil ekoran kebanyakan kes penyeludupan dadah ke negara itu membabitkan rakyat dari kedua-dua buah negara berkenaan.

"Dalam diskusi kami dengan Kementerian Perhubungan, ternyata banyak hal yang tidak diinginkan masuk ke Indonesia dari dua negara terdekat, yakni Singapura dan Malaysia. Oleh kerana itu, Menteri akan menyetujui 'random check-in', dari pesawat penumpang dua tujuan itu," katanya.

Beliau berkata pihaknya menunggu surat rasmi arahan dari Kementerian Perhubungan untuk menguatkuasakan peraturan baharu itu terhadap rakyat atau penumpang pesawat dari kedua-ddua buah negara berkenaan.

Budi berkata pergerakan rakyat Malaysia dan Singapura di lapangan terbang akan dipantau oleh pasukan peronda khas yang tidak memakai seragam dan mereka akan menahan sesiapa sahaja yang mencurigakan untuk pemeriksaan secara tertutup.

Sebelum itu, Menteri Perhubungan Ignasius Jonan dalam satu kenyataan baru-baru ini mengarahkan pihak berkuasa di lapangan terbang membuat pemeriksaan menyeluruh secara rawak terhadap rakyat asing yang memasuki Indonesia.

Katanya pemeriksaan secara rawak itu perlu dilakukan ekoran terdapat banyak kes penyeludupan dadah ke negara itu berlaku melalui jalan udara. 

Indonesia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain