suria

'Kubur Pesawat' Di Tengah-Tengah Bangkok

BANGKOK: Tersorok di tengah-tengah bandar raya yang dihuni lapan juta penduduk ini ialah sebuah tapak pembuangan pesawat komersial yang kini menjadi tarikan baharu pelancong ke kota Bangkok.

Saban hari, van dan bas persiaran membawa pelancong dari seluruh dunia melawat tapak pembuangan pesawat komersial yang semak samun itu, terletak di Soi 105, Jalan Ramkhamhaeng.

Lengkap dengan kamera dan video digital, pelancong asing sanggup membayar yuran kemasukan sehingga 600 Baht (RM69.58) seorang untuk melawat tapak yang kini menempatkan tiga pesawat komersial yang sudah dimamah usia.

Pada ketika ini, terdapat bahagian kepala sebuah pesawat Boeing 747 dan dua pesawat McDonnell Douglas MD-82 lengkap tetapi sudah usang di tapak terbabit, selain beberapa lagi bahagian pesawat yang tidak dikenal pasti.

Seorang pelancong Singapura, yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, berkata beliau hanya mengetahui tentang kewujudan tapak dkenali dengan nama 'Airplane Graveyard Bangkok' itu menerusi laman pelancongan Eropah yang khusus untuk tarikan-tarikan unik.

"Saya cuba mencari maklumat berkenaan tapak ini di laman-laman pelancongan rasmi Thailand, tetapi gagal. Mungkin pihak berkuasa tidak mengiktirafnya sebagai produk pelancongan," katanya.

Beliau yang berada tapak itu bersama isterinya menghabiskan masa dua jam memasuki setiap pesawat untuk melihat dan mengambil gambar pelbagai kelengkapan di dalamnya.

"Bukan setiap hari kami dapat memasuki setiap sudut pesawat yang kebiasaannya dijadikan kawasan larangan seperti kokpit pesawat dan bahagian kargo. Jadi ia adalah satu pengalaman yang unik," katanya.

Sememangnya tapak pembuangan kapal terbang komersial di Ramkhamhaeng itu hanya dipopularkan oleh laman-laman web pelancongan Eropah kepada mereka yang mungkin sudah jemu dengan tarikan biasa di kota Bangkok dan mahu mencuba sesuatu yang unik.

Laman-laman web pelancongan itu menyatakan tapak pembuangan kapal terbang itu merupakan antara tarikan unik yang wajib dikunjungi pelancong apabila berada di Bangkok.

Meningkatkan lagi daya tarikan tapak itu adalah persoalan yang gagal dirungkai sehingga kini tentang bagaimana pesawat terbabit dengan berat ribuan tan mampu dipindahkan ke tapak terkininya daripada lokasi asal.

"Adalah satu misteri bagaimana pesawat-pesawat McDonnell Douglas MD-82 yang setiap satunya sepanjang 40 meter boleh berada di sini bersama sisa cebisan pesawat lain, jauh dari landasan kapal terbang," soal laman web pelancongan itu.

Menurut seorang penjaga tapak itu yang dikenali sebagai 'Madam', tidak banyak diketahui tentang latar belakang tapak itu atau pesawat yang menghuninya, kecuali ia dimiliki seorang ahli perniagaan.

Walaupun tidak dibenarkan bercakap dengan media, namun beliau berkata terdapat 10 orang daripada tiga keluarga yang menjadikan ruangan luas di dalam badan-badan pesawat usang itu sebagai tempat tinggal mereka.

'Madam' mengakui beliau adalah antara individu yang memanggil pesawat jumbo 747 itu sebagai rumahnya.

Bangkok

Artikel Berikut

Artikel Lain