Ketua Polis Republik Indonesia Tito Karnavian hari ini berkata hasil identifikasi awal, salah satu daripada dua jenazah yang maut terkena tembakan oleh pasukan khas Operasi Tinombala di kawasan gunung itu malam semalam dipercayai adalah Santoso.
Katanya, pengencaman awal mayat itu dilakukan oleh beberapa anggota polis yang pernah menangkap Santoso pada 2005 serta saksi masyarakat yang mengenalnya.
"Dari hasil penggambaran wajahnya dan ciri-ciri lain, baik oleh anggota yang kenal dia dan saksi yang kenal dia, sementara dianggap positif dia adalah Santoso," katanya kepada wartawan di Kompleks Istana Kepresidenan di sini Selasa.
Tito berkata, satu mayat lagi dikenalpasti sebagai Muchtar, pengikut Santoso.
Santoso, 40, adalah pemimpin kumpulan militan bersenjata di Indonesia yang dikenali sebagai Mujahidin Indonesia Timur (MIT) dan berpangakalan di kawasan hutan di Poso, Sulawesi, Indonesia.
Kumpulan itu dikatakan mempunyai hubungan dengan kumpulan Daesh di Syria dan terbabit dalam beberapa kes serangan termasuk membunuh beberapa pegawai kanan tentera dan polis Indonesia.
Pada Mac lepas, pasukan khas polis dan tentera telah melancarkan operasi khas memburu kumpulan itu setelah mendapat maklumat mengenai kedudukan kubu Santoso bersama 34 orang pengikutnya.
Dalam pertempuran semalam, pasukan khas tentera terserempak lima anggota kumpulan itu dan berlaku kejadian berbalas tembak dalam hutan di bukit berkenaan.
Tiga daripada mereka termasuk dua wanita berjaya melarikan diri manakala dua lagi ditemui mati di tempat kejadian.
Polis percaya salah seorang wanita yang melarikan diri itu ialah isteri Santoso yang bernama Jumiatun Muslimayatun.
Polis masih memburu saki-baki anggota kumpulan terbabit yang dipercayai masih berada di kawasan hutan bukit itu.