JAKARTA: Gara-gara terlalu leka dengan permainan Pokemon Go, seorang lelaki warga Perancis ditahan polis Indonesia kerana menceroboh pangkalan tentera negara ini. Romain Pierre, 27, ditahan di pusat pemeriksaan pada Isnin petang selepas melarikan diri semasa pengawal keselamatan menyedari kehadirannya di kompleks tentera yang terletak di Cirebon. Menurut AP, Pierre berkerja di sebuah syarikat di bandaraya ini dan melawat Cirebon, kira-kira 190 kilometer timur Jakarta. Jurucakap polis Jawa Barat, Kolonel Yusri Yunus berkata, Pierre bagaimanapun dibebaskan beberapa jam kemudian selepas didapati tidak sengaja memasuki kompleks itu kerana memburu Pokemon ketika berjogging. Pokemon Go menggunakan Google Maps dan telefon pintar yang menggabungkan realiti dengan makhluk Pokemon menjadi permainan 'blokbuster' melanda Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain. Ia masih belum dikeluarkan secara rasmi di Indonesia, namun telah menjadi popular di negara itu. Sementara itu, menurut Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau lebih mesra disapa Ahok menganggap ia boleh digunakan untuk meningkatkan sektor pelancongan di bandar itu. Bagaimanapun, beberapa pegawai keselamatan menyuarakan kebimbangan kerana permainan itu boleh menimbulkan ancaman keselamatan.