POLIS menjumpai seorang mayat lelaki yang dipercayai membunuh diri selepas insiden tembakan di pusat beli-belah Olympia-Einkaufszentrum di Munich, Jerman. Suspek berusia 18 tahun yang belum dikenal pasti itu berketurunan Iran-Jerman yang tinggal di Munich selama lebih dua tahun. Ketua Polis Munich, Hubertus Andrae berkata tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab melakukan serangan tersebut. Katanya, kanak-kanak merupakan kebanyakan mangsa yang cedera dalam insiden itu. Saksi melaporkan melihat tiga lelaki bersenjata berhampiran pusat beli belah itu tetapi polis berkata menerusi Twitter, mereka cuma menemui satu mayat dipercayai membunuh diri, berkemungkinan penyerang, yang menurut siasatan, bertindak sendirian. Polis menarik balik arahan penutupan semua pengangkutan awam di ibu negara Jerman dan berkata lebih banyak maklumat akan didedahkan pada sidang akhbar. Selepas tembakan berlaku di salah satu pusat beli belah terbesar di Munich, keadaan darurat diisytiharkan penduduk dinasihatkan supaya tidak keluar, manakala semua perkhidmatan kereta api dan kereta api bawah tanah digantung. Ia adalah serangan keganasan ketiga terhadap penduduk awam di Eropah Barat dalam masa lapan hari. Serangan sebelum ini, di Nice, Perancis dan dalam kereta api di Bavaria, yang didakwa dilancarkan IS. Walaupun polis menyifatkan kes tembakan itu sebagai tindakan keganasan, mereka berkata 'tiada petunjuk' ia membabitkan IS. Serangan berlaku kira-kira pukul 6.00 petang waktu tempatan di McDonald ketika kawasan itu dipenuhi orang ramai yang sedang membeli belah.